Mahu Mati Di Bulan Ramadan

Hasrat salah seorang daripada tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi untuk meninggal dunia dalam bulan Ramadan tercapai.

Beberapa rakannya mendedahkan perkara itu berkata, sebelum bermulanya puasa tahun ini gurunya meminta pelajar menulis azam masing-masing pada Ramadan tahun ini.

“Apa yang ditulis oleh salah seorang yang maut ini adalah untuk mati di bulan Ramadan.

“MasyaAllah…Dia yang menentukan segalanya, hasratnya itu tercapai,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi semalam, tujuh pelajar tahfiz terbunuh manakala tujuh lagi cedera parah apabila van yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan di Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu di Kampung Telekong, Kuala Krai.

Tiga jenazah pelajar tahfiz yang maut dalam kemalangan tersebut selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Pusat Tahfiz Al-Hashimi, Kampung Tualang pada pukul 12.10 tengah malam tadi.

Tiga jenazah tersebut iaitu Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Mohd. Hakimi Mohd. Dahlan, 17, dan Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16.

Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab. Rahman dan Pengasas Tahfiz Al Hashimi, Datuk Adnan Hashim.

Solat jenazah diimamkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkebang, Abdul Latiff Abdul Rahman.

Sementara empat lagi jenazah dibawa pulang oleh waris masing-masing untuk dikebumikan. – 3 Jun 2017.