Pemandu Van Tahfiz Tiada Lesen Memandu

Pemandu van Tahfiz Al Hashimi yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan tujuh pelajar di Kampung Telekong, kuala Krai semalam, tiada lesen memandu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj berkata, bagaimanapun pemandu berusia 24 tahun itu tiada rekod kesalahan trafik dan ujian saringan air kencing didapati negatif.

“Hasil siasatan awal mendapati, pemandu van jenis Maxus V80 itu dipercayai tiba-tiba hilang kawalan ketika di lokasi kejadian selepas memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

“Apabila pemandu van terbabit masuk semula ke laluannya, secara tiba-tiba van berkenaan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan,” katanya dihubungi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi semalam, tujuh pelajar tahfiz maut apabila van yang dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Kuala Krai.

Zulkarnain berkata, pihak polis telah merakam percakapan pemandu untuk melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan masih diteruskan,” katanya. – 3 Jun 2017.