PRK Nenggiri Testimoni Tiga Penjuru

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan akan meneliti sama ada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri perlu diadakan atau sebaliknya.

Speaker DUN, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan dalam masa terdekat.

“Selepas tiga tahun tarikh pilihan raya umum lepas berlalu, biasanya tiada lagi PRK biarpun ada kekosongan berlaku,” katanya.

DUN Nenggiri kosong selepas wakil rakyatnya, Datuk Mat Yusoff Ab. Ghani disahkan bankrap.

Abdullah yang mengumumkan perkara itu berkata, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Selangor pada 28 Mei lalu, memaklumkan Mat Yusoff yang juga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di Nenggiri sejak 2013, disahkan muflis.

Mengikut amalan, PRK tidak diadakan selepas melebihi tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyerahkan kepada Speaker DUN untuk menentukan sama ada ingin mengadakan PRK DUN Nenggiri atau sebaliknya.

Dalam perkembangan berkaitan, ada pihak yang mencadangkan perlunya PRK Nenggiri diadakan bagi menilai kedudukan politik di negeri itu.

Seorang pemerhati politik di Kelantan berkata, adalah wajar sekiranya Speaker DUN Kelantan memberi laluan untuk PRK Nenggiri sebagai testimoni pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional, PAS dan Pakatan Harapan di Kelantan. – 3 Jun 2017.