UMNO Kelantan Akan Bantu Mat Yusoff

UMNO Kelantan akan mencari jalan bagi membantu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Neninggiri, Datuk Mat Yusoff Abd. Ghani yang diisytihar muflis sehingga kerusi disandangnya terpaksa dikosongkan baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanafi Mamat, Mat Yusoff merupakan wakil rakyat yang berdedikasi dan telah memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para penduduk dan negeri ini.

Sehubungan itu kata beliau, UMNO Kelantan amat bersimpati dengan nasib yang menimpa Mat Yusoff.

“UMNO Kelantan juga akan terus membantu rakyat DUN Nenggiri seperti biasa semasa dalam keadaan ketiadaan wakil rakyat.

“Kita juga menghormati dan akur dengan keputusan Speaker DUN mengisytihar kerusi DUN Nenggiri Kosong ekoran kedudukan Mat Yusoff yang diisytihar muflis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdulah Ya’kub mengisytiharkan Mat Yusoff hilang kelayakan memegang jawatan tersebut selepas diisytihar muflis sekali gus menjadikan kerusi tersebut kosong.

Menurut Abdullah, pihaknya menerima surat daripada Jabatan Insolvensi cawangan Selangor pada 28 Mei lalu yang memaklumkan mengenai kebangkrapan Mat Yusoff sejak 9 November tahun lalu.

Mat Yusoff, 55, memegang kerusi DUN Nenggiri sejak tiga penggal lalu tanpa mampu digugat oleh mana-mana pencabar. – 3 Jun 2017.