Isu Nenggiri Tidak Luntur Semangat UMNO

Kehilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan menjadi masalah besar kepada UMNO Kelantan sebaliknya situasi tersebut memberi suntikan semangat untuk parti terus bekerja lebih kuat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pada peringkat awal isu tersebut mungkin memberi sedikit kesan namun sekarang seluruh jentera parti sudah meneruskan kerja seperti biasa.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pihaknya amat menghargai jasa bekas ADUN Nenggiri, Datuk Mat Yusoff Abd. Ghani yang mendapat sokongan besar rakyat sejak memenangi kerusi itu pada 2004.

“UMNO memang sudah teliti memilih calon dan Mat Yusoff semasa dipilih tidak ada masalah namun kadang-kadang berlaku hal-hal mendukacitakan dalam perniagaan.

“Semua orang sedia maklum beliau mendapat majoriti kedua terbesar bilangan pengundi selepas DUN Paloh.

“Sokongan rakyat kepadanya sangat jitu sekali kerana beliau telah menjalankan tugas dengan baik namun begitulah kadang-kadang kita tidak ada rezeki,” katanya selepas melakukan lawatan sempena program Ziarah Kasih DUN Chempaka di Pengkalan Chepa hari ini.

Dalam lawatan tersebut, Mustapa turut menyerahkan bantuan kewangan serta barangan keperluan lain kepada lima keluarga susah dan pesakit kronik di Kampung Pauh dan Kampung Pulau Panjang.

Sementara itu, Mustapa berkata, beliau yakin rakyat Kelantan pada masa ini semakin menunjukkan perubahan sikap terhadap UMNO.

“Hari ini, kita melawat kampung dalam DUN Chempaka yang kita tahu kedudukan UMNO di sini dahulu tidak berapa kukuh tetapi kini rakyat semakin nampak khidmat dan sumbangan kita.

“Suasana tegang seperti 10, 20 tahun dahulu sudah tidak ada dan bilangan yang sangat fanatik kepada PAS dan berseteru dengan UMNO semakin kurang.

“Yang penting sekali kerja-kerja UMNO bukan bermusim dan bukan kerana pilihan raya, UMNO seluruh negeri sentiasa berkhidmat untuk rakyat, tidak kira pilihan raya esok lusa atau tahun hadapan,” katanya. – 4 Jun 2017.