Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi Nafi Pemandu Tiada Lesen

Pengasas Maahad Tahfiz Al-Hashimi, Datuk Adnan Hashim menafikan dakwaan bahawa pemandu van membawa pelajar yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Telekong tidak mempunyai lesen memandu.

Beliau berkata, pihaknya cukup menitik beratkan soal peraturan di maahad tersebut dan sama sekali tidak akan membiarkan mereka yang tidak mempunyai lesen memandu.

Bagaimanapun beliau memberitahu bahawa salah seorang daripada guru pengiring pelajar tersebut tidak mempunyai lesen memandu.

“Memang dalam dua guru pengiring tersebut salah seorangnya tidak ada lesen, tetapi yang memandu pada hari itu mempunyai lesen,” katanya ketika ditemui di Maahad Tahfiz Al-Hashimi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai Deputi Superintendan Zulkarnain Ismail Al Haj memaklumkan bahawa pemandu membawa pelajar Maahad Tahfiz Al Hashimi, Tualang yang terbabit dalam kemalangan maut di Kampung Telekong semalam tidak mempunyai lesen.

Zulkarnain Ismail dilaporkan berkata, hasil siasatan awal, van jenis Maxus V80 Westar yang dinaiki 14 mangsa dari arah bandar Kuala Krai menghala ke Kota Bharu memotong sebuah kereta di hadapannya sebelum gagal mengawal kenderaan dan terbabas.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi kelmarin, tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi maut manakala tujuh lagi parah selepas van dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah rumah di Kampung Telekong. – 3 Jun 2017.