PKR Masih Kekal Lantikan Politik Di Kelantan

Lantikan politik daripada PKR dalam pentadbiran kerajaan Kelantan masih berjalan seperti biasa walaupun PAS telah memutuskan tahaluf siyasi dengan parti itu.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, setakat ini tiada ahli PKR melepaskan sebarang lantikan politik dan kesemua mereka masih berkhidmat seperti biasa.

“Ia adalah satu persefahaman yang diluar dari apa yang kita fikirkan.

“Mereka masih belum meletak sebarang jawatan dan setakat ini ia masih berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Ihya’ Ramadhan Bersama Anak Perantauan Kelantan yang diadakan di Dewan Bunga Kertas, di Shah Alam malam tadi.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini mengarahkan semua lantikan politik daripada PKR di Kelantan melepaskan semua jawatan.

Arahan itu dibuat berikutan PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Guchil, Mohamad Roslan Puteh memaklumkan bahawa lantikan politik meliputi ahli majlis, penghulu dan penyelia di negeri itu masih berjalan seperti biasa.

“Belum ada lagi peletakkan jawatan kerana masih diperingkat berunding antara pimpinan negeri Kelantan dan pusat.

“Walaupun ada war-war untuk kami letak jawatan tapi setahu saya, surat rasmi belum dihantar,” katanya. – 4 Jun 2017.