Sempat Laungkan Takbir Sebelum Terdengar Bunyi Dentuman Kuat

Muhammad Syuwari Manasikana, 14, salah seorang mangsa yang terselamat dalam kemalangan di Kampung Telekong jumaat lalu bersama rakan-rakannya sempat melaungkan takbir sebelum van tersebut merempuh sebuah rumah.

Selepas insiden ngeri itu, pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi tersebut memaklumkan dia sudah tidak menyedari apa-apa dan apabila sedar remaja berkenaan sudah berada di hospital.

“Apabila sedar, saya sudah berada di hospital. Apa yang saya ingat van bergerak laju sebelum memotong sebuah kenderaan lain dan terbabas merempuh sebuah rumah.

“Pada masa itu, bunyi dentuman cukup kuat dan selepas itu saya hanya sedar berada di hospital,” katanya dalam nada lemah ketika ditemui di Hospital Kuala Krai hari ini.

Selain Syuwari, turut dirawat di hospital berkenaan ialah Ahmad Syakir Azfar Abd Rahim, 16, yang mengalami pendarahan endomen dan pada masa ini masih tidak sedarkan diri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat lalu, tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi maut manakala tujuh lagi parah selepas van dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah rumah di Kampung Telekong.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Mohd. Nurhaikal Fauzi,14, berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum dikejutkan dengan bunyi seakan-akan tayar meletup.

“Tiba-tiba saya rasa van berputar banyak kali, ke kiri, kanan dan berpusing sebelum terjatuh.

“Selepas van jatuh, saya sudah tidak tahu apa berlaku. Sedar-sedar sudah di hospital,” katanya yang mengalami patah tangan kiri serta paha kanan dan kini sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kota Bharu. – 4 Jun 2017.