Tujuh Tahfiz Syahid Kecil

Tujuh pelajar tahfiz yang meninggal dunia dalam kemalangan di Kuala Krai, pada Jumaat lalu boleh dikategorikan sebagai syahid kecil, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata, selain kecelakaan jalan raya, umat Islam yang maut akibat mati lemas dan wanita meninggal ketika bersalin juga boleh dikategorikan antara syahid akhirat.

“Tetapi bukanlah kategori mati syahid dalam peperangan. Kalau nak kategorikan mati syahid kecil, bolehlah kerana mereka semua terlibat dalam kemalangan.

“Begitu juga mati kebakaran dan mati kerana sakit juga boleh dikategorikan mati syahid kecil,” katanya.

Jumaat lalu, tujuh pelajar tahfiz maut selepas van dinaiki mereka terbabas sebelum merempuh sebuah rumah diKampung Telekong, Kuala Krai.

Lima maut di tempat kejadian iaitu Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali, 17; Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Sharifuddin Mohamad, 16, dan Nik Ahmad Daniel Nik Ahmad Rithaudeen, 14, sementara dua lagi, Ahmad Farhan Zulkifli, 14, serta Mohd Hakimi Mohd Dahlan, 17 meninggal di Hospital Kuala Krai.

Tujuh lagi mangsa termasuk lima pelajar dan dua guru pengiring turut mengalami kecederaan.

Ketika kejadian, semua mangsa difahamkan dalam perjalanan ke program Daurah Madinah Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Mohamad Shukri menasihatkan, umat Islam supaya berlapang dada dan menerima musibah sebagai ketentuan Allah SWT.

“Setiap musibah berlaku, ada ketetapan qada dan qadar. Kalau orang meninggal dunia akibat sakit jantung atau kencing manis pun ada asbab sendiri. Apa yang berlaku ini  adalah suratan takdir dan kita kena terima ketetapan ini,” katanya. – 4 Jun 2017.