Pemuda Kena Libas Terima 23 Jahitan

Seorang pemuda menerima 23 jahitan di muka dan lengan selepas dilibas dengan sepilah pisau oleh seorang lelaki dalam kejadian di Kampung Bunut Payung, Banggol Kulim, Machang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, kedua lelaki berkenaan dikatakan bertengkar berhubung masalah hutang pil kuda sebelum berlaku pergelutan.

Menurut Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad, mangsa, Muhamad Zaqwan Che Zainal, 21, cedera di muka dan lengan akibat diserang dengan pisau oleh lelaki yang dikenali sebagai Abu Telekong.

Katanya, terdahulu mangsa sedang berbual dengan seorang lelaki lain sebelum didatangi suspek yang menaiki motosikal.

“Suspek ada berbual dengan mangsa terlebih dahulu dan telah menuduhnya mengambil wang hasil daripada jualan pil kuda daripada seorang rakan lain.

“Suspek yang tidak berpuas hati bertindak mengeluarkan sebilah pisau rambo dan cuba menikam mangsa, namun mangsa sempat mengelak sebelum suspek melibas pisau tersebut terkena muka dan lengan mangsa,” katanya.

Tambah Din, suspek bertindak melarikan diri selepas melihat mangsa berada dalam keadaan berlumuran darah.

Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk menerima rawatan lanjut.

“Sehari selepas dirawat, mangsa dibenarkan pulang ke rumah, bagaimanapun enggan memanjangkan kes tersebut selain tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Namun, pihak polis tetap menyiasat kejadian tersebut berdasarkan maklumat pertama yang diterima daripada orang awam dan berharap mangsa tampil untuk menyelesaikan kes tersebut,” jelasnya. – 4 Jun 2017.