Rasuah: Penolong Pengurus Jabatan Pengarang The Star Didakwa

Penolong Pengurus Jabatan Pengarang akhbar The Star didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah RM20,000 daripada seorang individu akhir bulan lepas.

Tertuduh M Youganesparan, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima suapan RM20,000 daripada Mohd. Emir Mavani Abdullah, 54.

Wang itu kononnya untuk diberi kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai dorongan kepada pegawai SPRM itu menyelesaikan kes berkaitan Mohd. Emir yang disiasat SPRM.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dome Café, Lot G20, Vista Power, The Intermark, Jalan Tun Razak, pukul 9.15 malam pada 30 Mei lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 7 Julai depan untuk sebutan semula kes. – 5 Jun 2017.