TPM Jumpa Menteri Besar, Bincang Tiga Perkara Utama

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengadakan kunjungan ke atas Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim pagi ini.

Beliau yang diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad tiba di kompleks tersebut kira-kira pukul 10 pagi.

Antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan kira-kira satu jam yang berakhir pada pukul 11 pagi itu ialah berkaitan hal-hal keselamatan, ancaman dadah serta pemulihan dalam kalangan banduan di negeri itu.

Ahmad Zahid selepas pertemuan itu berkata, pihaknya akan terus mengadakan kerjasama erat dengan kerajaan negeri bagi membantu menyelesaikan masalah berkaitan soal keselamatan dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, dalam pertemuan itu, beliau turut meminta kerajaan negeri agar menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bagi mewujudkan kelab pencegahan jenayah di semua sekolah di Kelantan.

“Kebetulan Menteri Besar adalah kawan saya dan kebetulan saya berada di Kelantan, saya mengambil kesempatan ini untuk berjumpa Ahmad bagi membincangkan mengenai tiga perkara penting ini.

“Pertemuan hari ini, hanya tertumpu pada perkara itu dan langsung tidak menyentuh mengenai soal politik,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, beliau bersyukur dapat mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri bagi membincangkan mengenai masalah berkaitan keselamatan dan dadah di Kelantan.

“Kita akan memberi kerjasama penuh dalam melaksanakan pelbagai program khususnya dalam usaha mencegah masalah penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya. – 5 Jun 2017.