TPM Solat Tarawih Bersama 2,000 Jemaah Di Masjid Al- Sultan Ismail Petra

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi menunaikan solat Isyak dan solat sunat tarawih di Masjid Al- Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian.

Beliau yang memakai jubah putih tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 8.40 malam dan menunaikan solat bersama lebih 2,000 jemaah yang diimamkan oleh Mohd. Syarizal Kadir.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Turut hadir, Pemangku Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad; Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian, Datuk Muhammad Abdul Ghani serta pemimpin-pemimpin setempat.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berbuka puasa bersama lebih 2,000 kakitangan KDN, rakyat dan anak-anak yatim di Masjid Mahmudi Pantai Irama, Bachok.

Ahmad Zahid berada di negeri ini sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama Warga KDN yang mana Kelantan menjadi destinasi keenam penganjuran program itu selepas Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Kedah. – 4 Jun 2017.