UMNO Kelantan Kendali DUN Nenggiri

Badan Perhubungan UMNO Kelantan akan bertanggungjawab mengendalikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri setelah wakil rakyatnya hilang kelayakan selepas diisytiharkan muflis.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini berikutan tiada lagi sebarang Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan kerana sudah melepasi tempoh matang.

“Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah memaklumkan perkara itu dan kita reda dengan kekosongan itu.

“Kita serahkan kepada perhubungan negeri untuk mengendalikan DUN yang diisytiharkan kosong itu,” katanya dalam sidang media di Program Penerapan Nilai-nilai Murni Bersama TPM di Masjid Mahmudi, Bachok.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Yang turut hadir Pemangku Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Khamis lalu, kerusi DUN Nenggiri, Gua Musang, diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan selepas penyandangnya, Datuk Mat Yusoff Abd. Ghani disahkan muflis. – 5 Jun 2017.