Air Batu Tongkol, Habuk Gergaji Ramadan Zaman Malaya

Tahun 1950an dan awal 1960an, suasana menyambut bulan Ramadan jauh berbeda dengan sekarang . Di Kelantan ketika itu bekalan elektrik belum ada, kecuali dalam bandar.

Air batu (ais) menjadi barangan sangat berharga kerana sukar untuk mendapatkannya. Merasai nikmat minum air batu sirap hanya pada bulan Ramadan.

Ada orang kaya yang egois beli peti ais, oleh kerana elektrik belum ada, peti ais kemudian bertukar menjadi almari tempat menyimpan kain baju. Op! Itu cerita lain!

Air batu tongkol satu-satunya pilihan, dijual hanya pada bulan puasa. Ramai remaja berniaga air batu di pasar atau simpang-simpang jalan.

Jam tiga sore sudah siap dengan gergaji untuk memotong air batu blok yang datang dari kilang air batu di Kota Bharu.

Air batu itu dipotong empat persegi berukuran sekaki persegi, dijual dengan harga 20 sen atau 10 sen jika ukuran kecil sedikit. Dibungkus dengan kertas surat khabar.

Jangan terkejut, kertas tak koyak dengan air batu kerana di dalamnya di bubuh habuk gergaji yang diambil dari kilang kayu yang banyak didapati di Kelantan ketika itu.

Air batu dibuat air sirap, dimasuk juga cendul. Segelas tak cukup, dua tiga gelas itu biasa bagi kanak-kanak. Selepas makan nasi, minum lagi dua gelas, akhirnya tersandar di tiang seri. Petri mandi, cek mek molek, gajah mandi abu, antara kuih tradisional negeri Cik Siti Wan Kembang yang popular ketika zaman Malaya, bahkan sampai sekarang.

Ketika itu kuih akak belum ada, setelah suri-suri rumah menyertai kursus membuat kuih anjuran kaum ibu UMNO, baru dapat merasai kuih akak kedut. Sedap rupanya. Kuih Gelembong Buaya memang sudah lama wujud di Kelantan, boleh dibeli di pasar besar Kota Bharu, sekarang Pasar Siti Khadijah.

Solat sunat tarawih tak pernah absen. Setahun sekali, dalam bulan Ramadan, ibu bapa memerdekakan anak-anak remaja mereka keluar rumah malam hari.

Justeru ambil kesempatan semaksimal mungkin, beritahu nak ke masjid atau balaisah, ada juga sesekali singgah di tempat lain sebelum atau sesudah pulang dari masjid. Masing-masing membawa lampu picit kerana jalan atau lorong gelap gelamat. Masjid diterangi hanya cahaya lampu gasolin. Elektrik belum ada.

Di kampung saya ada sebuah masjid mukim, surau dan beberapa balaisah. Sebelum naik untuk solat sunat tarawih, intai dahulu, adakah disediakan cendul untuk dijamu makan selepas solat nanti. Kalau tak ada, pergi ke surau atau balaisah lain.

Zaman dahulu lapar, tidak seperti budak-budak sekarang. Untuk mengenali adanya moreh tak susah – Periuk, pinggan, mangkok diletakkan di penjuru bahagian dalam masjid, itu tandanya ada jamuan usai bertarawih.

Zaman itu, tarawih (selawat) mesti nyaring, sehingga jamaah surau berdekatan dapat dengari dengan jelas. Seolah-olah seperti “bertanding”, masjid, surau atau balaisah mana lebih kuat bersalawat malam itu.

Tugas kanak-kanak berteriak sehingga serak tengkok. Berbeda dengan sekarang, jamaah malas buka mulut.

Bersahur jam 3.00 pagi. Emak atau kakak kejutkan dari tidur, dalam keadaan mamai terus bersila menghadapi hidangan yang tak seberapa – satu pingan nasi, telor masin belah dua dan budu, diterangi cahaya malap pelita tanah.

Zaman Malaya, rata-rata umat Islam bersahur jam 3.00 pagi, mereka khuatir untuk bangun jam 4.30 atau 5.00 pagi seperti kebiasaan orang sekarang.

Bimbang puasa tak bersahur! Akibatnya , puasa kami terasa terlalu lama dan meletihkan.

*Artikel ini ditulis oleh Pak Rossem yang dipetik terus dari laman Facebooknya Rossem.