Doakan Anak Saya Cepat Sembuh

Salah seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang menjadi mangsa kemalangan di Kampung Telekong, Kuala Krai Jumaat lalu masih lagi tidak sedar dan bernafas menggunakan bantuan mesin di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pelajar itu, Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd, Izahir Al-Hafiz, 17, mengalami pendarahan otak, luka paru-paru dan kecederaan tulang belakang akibat tragedi yang meragut nyawa tujuh rakannya.

Menurut bapanya, Mohd. Izahir Kasim, 49, pihak hospital merancang untuk melakukan pembedahan tetapi keadaan kesihatan anaknya masih tidak mengizinkan.

“Semalam pihak hospital membuat imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) ke atas anak saya dan mendapati terdapat dua tempat patah di bahagian tulang belakang.

“Tetapi doktor memberitahu bahawa keadaan anak saya turun naik, jantung, tekanan darah, tidak stabil.

“Paling awal pun barangkali Khamis ini baharu pembedahan boleh dilakukan, saya mohon kepada semua orang tolonglah doakan keselamatan dan kesihatan anak saya,” katanya.

Muhammad Faiz Hafizuddin adalah salah seorang daripada 14 warga Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang terlibat dalam kemalangan van terbabas yang di Kampung Telekong, Kuala Krai baru-baru ini. – 5 Jun 2017.