Dua Pelajar Masih Tidak Sedarkan Diri

Dua pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang parah akibat kemalangan di Kampung Telekong, Kuala Krai Jumaat lalu masih tidak sedarkan diri.

Pelajar tersebut, Ahmad Syakir Azfar Abdul Rahim, 16, serta Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd Izahir Al-Hafiz, 17, masing-masing dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Krai dan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Muhammad Faiz Hafizuddin yang mengalami pendarahan otak, luka paru-paru dan kecederaan tulang belakang difahamkan masih menggunakan bantuan mesin pernafasan ketika ini.

Manakala Ahmad Syakir yang menjalani pembedahan semalam dikatakan mempunyai masalah di sebelah kiri buah pinggang dan berkemungkinan organ tersebut terpaksa dibuang jika terkena jangkitan.

Bapa Ahmad Syakir, Abdul Rahim Salleh,51, berkata, anaknya masih tidak sedarkan diri bagaimanapun keadaan jantung dan pernafasannya didapati telah stabil.

“Pada masa ini, buah pinggang sebelah kiri Ahmad Syakir mengalami luka agak serius. Kita berharap luka tersebut tidak berlarutan,” katanya.

Tambahnya, dia meminta orang ramai supaya mendoakan anak kesayangannya itu agar cepat sembuh seperti sedia kala.

Katanya, dia ingin melihatkan Ahmad Syakir dapat menjalani kehidupan seperti biasa dan menamatkan pengajian tahfiznya.

“Apabila Ahmad Syakir buka mata nanti, saya ingin sangat memberi semangat supaya dia terus kuat menghadapi dugaan ini. Pengajian Ahmad Syakir hanya berbaki setahun, saya harap dia dapat habiskan,” katanya.

Selain Ahmad Syakir dan Muhamad Faiz beberapa rakan serta guru pengiring yang terselamat dalam kemalangan tersebut masih mendapatkan rawatan di Hospital Machang, HUSM dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat lalu, tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi maut manakala tujuh lagi parah selepas van dinaiki mereka terbabas dan melanggar sebuah rumah di Kampung Telekong. – 5 Jun 2017.