Kesusahan Lima Keluaga Dapat Perhatian Mustapa

Lima keluarga susah dan pesakit kronik mendapat perhatian Ketua Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang telah melawat mereka di sekitar Pengkalan Chepa kelmarin.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri meluangkan masa kira-kira sejam bertanya khabar dan menyampaikan sumbangan kewangan dan barang keperluan sempena program lawatan Ziarah Kasih Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Menurutnya, beliau gembira penduduk terutama di kawasan kubu kuat PAS kini semakin berfikiran terbuka untuk melihat khidmat dan kesungguhan UMNO bekerja untuk rakyat.

“Program ziarah sebegini adalah kerja berterusan oleh UMNO Bahagian di seluruh negeri untuk berkhidmat dan membantu rakyat.

“Saya ucapkan tahniah kepada UMNO Pengkalan Chepa kerana berjaya mendekati penduduk kampung dalam DUN Chempaka walaupun kedudukan UMNO dalam DUN ini dahulu tidak berapa kukuh tetapi kini ada tanda-tanda perubahan.

“Dahulu hubungan tegang tetapi sekarang reda, penduduk sudah boleh ‘pergi mari’ dengan kita, bukan bermakna mereka sudah menyokong tetapi kalau kita bekerja kuat mereka akan terbuka hati bersama Barisan Nasional (BN),” katanya.

Pada program ziarah itu, Mustapa telah melawat Mohd Nawi Yusoff, 63 dan Mek Nab Awang,72, dari Kampung Pulau Panjang serta Pauziah Ab. Rahman, 50; Fatihah Awang, 29 dan Maimunah Senik, 76, dari Kampung Pauh. – 5 Jun 2017.