Polis Marin Rampas Mercun RM90,000

Polis Marin Pengkalan Kubur dan Tok Bali merampas pelbagai jenis mercun bernilai kira-kira RM90,000 di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh semalam.

Pegawai Memerintah Polis Marin Pengkalan Kubur, Asisten Suprintendan Ahmad Amri Abdul Rahman berkata, rampasan itu dilakukan di sebuah stor terbiar hasil maklumat orang awam pada pukul 5 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas stor berkenaan telah membawa kepada penemuan 50 kotak besar mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Kita bawa semua bahan letupan itu ke Markas Taktikal Wilayah 3, Polis Marin di Tok Bali petang semalam untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh (IPD) bagi meneruskan siasatan lanjut.

“Siasatan dibuat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam sidang media di Tok Bali, hari ini.

Ahmad Amri berkata, pihaknya percaya aktiviti penyeludupan dan pengedaran mercun itu dilakukan penduduk tempatan bagi mengaut keuntungan berlipat ganda sepanjang musim perayaan. – 6 Jun 2017.