Kerajaan PAS Kelantan Bincang Dengan AADK

Kerajaan PAS Kelantan akan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk membangunkan program pemulihan dadah yang menggunakan pendekatan agama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, itu adalah antara hasil pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Mohamed Fadzli berkata, bagi tujuan itu, perbincangan selanjutnya akan diadakan dengan pihak AADK.

“Setakat ini kita sudah ada sebuah pusat pemulihan ‘Inabah’ yang beroperasi di Jeram Pasu, Pasir Puteh. Kerajaan akan lihat apa cadangan daripada AADK untuk membantu kita,” katanya.

Beliau diminta mengulas jalinan kerjasama antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan PAS Kelantan dalam menangani isu dadah terutama pil kuda di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mahu AADK bekerjasama dengan Kerajaan PAS Kelantan menerusi program keagamaan untuk pemulihan penagih dadah. – 7 Jun 2017.