Anggota PGA Ditembak Guna Pistol Angin

Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) terselamat meskipun lehernya terkena tembakan ketika bertugas berhampiran pangkalan haram Syarifah, di Rantau Panjang malam tadi.

Ketika kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam, Koperal Shahrul Suliman, 34, dikatakan cuba mengejar dua lelaki dipercayai penyeludup namun ditembak suspek menggunakan pistol angin buatan sendiri.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Fakri Che Sulaiman, sebelum kejadian, mangsa bersama rakan setugasnya sedang menjalankan tugas risikan sempadan.

“Ketika berada berhampiran pangkalan haram mereka terserempak dengan dua suspek menaiki sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan. Mereka cuba menahan dua lelaki terbabit. Namun suspek cuba melarikan diri ke dalam semak.

“Mangsa cuba mengejar suspek dan tidak lama kemudian, rakan mangsa dikejutkan bunyi tembakan sebelum menemui dia dalam keadaan terbaring,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ I), hari ini.

Dalam pada itu Mohd. Fakri memberitahu, mangsa terkena tembakan pada bahagian leher namun peluru besi digunakan suspek tidak tembus ke bahagian belakang selain tidak mengenai bahagian organ penting.

“Pihak hospital mendapati terdapat serpihan bebola besi pada leher kanan mangsa. Keadaan dia setakat ini stabil dan pembedahan akan dibuat bagi mengeluarkan peluru tersebut.

“Kita sudah mengenalpasti suspek yang merupakan lelaki tempatan walaupun ketika kejadian, mereka menggunakan motosikal pendaftaran Thailand. Usaha memburunya sedang giat dijalankan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971/ Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, isteri mangsa, Nor Hernidawati Zainal, 34, berkata, dia bersyukur suaminya terselamat dalam kejadian tembakan tersebut.

“Keadaan suami masih lemah. Dia diarahkan oleh doktor supaya berehat sementara menunggu pembedahan mengeluarkan peluru pada lehernya,” katanya. – 8 Jun 2017.