Hancur Dua Jari Terkena Mercun Bola

Seorang buruh hancur dua jari kanan akibat terkena letupan mercun bola yang dipercayai dilempar oleh kanak-kanak nakal petang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Abdul Azim Mohammad, 29, dari Kampung Jejulok Simpangan,Tumpat sedang menaiki motosikal jenis Yamaha 125z untuk membeli barang di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor.

“Ketika tiba di tempat kejadian, mercun bola yang dilempar kanak-kanak itu terjatuh ke dalam raga motosikal saya.

“Terkejut dengan kejadian itu, saya segera mengambil mercun berkenaan untuk dibuang sebelum ia meletup ditangan saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan  Zainab II (HRPZII) hari ini.

Akibat letupan itu, ibu jari serta jari telunjuk mangsa hancur.

Sementara itu, di Kampung Panchor seorang remaja Mohammad Firdaus Roslan, 14, cedera di bahagian mata dan jari akibat mercun rekaan sendiri.

Menurut ibu mangsa, Hamizah Setapa, 42, anak sulung dari empat beradik itu terkena letupan mercun yang diubahsuai  bersama rakan-rakannya di kawasan berhampiran rumah.

“Kira-kira pukul 9.30 malam tadi, saya yang sedang bekerja di sebuah pasaraya di sini telah dimaklumkan oleh suami mengenai kejadian itu sebelum bergegas pulang ke rumah.

“Terkejut melihat anak saya mengalami kecederaan di bahagian mata kiri dan jari hantu, kami segera menghantarnya ke HRPZII.

Hamizah berkata, kejadian berlaku apabila anaknya memasukkan kabaid ke dalam botol mineral sebelum ia meletup. – 8 Jun 2017.