‘Maik Diancam Bom’

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) gempar apabila menerima panggilan ancaman bom.

Susulan panggilan itu, lebih 200 kakitangan dan orang awam diminta keluar dan berkumpul di pekarangan bangunan Maik.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Mohd. Azlan Abdul Hadi berkata, pihak operatornya menerima panggilan telefon kira-kira pada pukul 10.20 pagi daripada seorang lelaki yang mengatakan ada bom dipasang di beberapa tempat di bangunan Maik.

“Pegawai operator saya memberitahu lelaki itu memberi amaran tentang bom dipasang di dua tiga tempat di bangunan Maik.

“Kami terus memaklumkan kepada pihak polis yang segera datang untuk melakukan pemeriksaan.

“Pihak polis meminta semua kakitangan agar keluar daripada pejabat masing-masing sepertimana dalam prosedur operasi keselamatan (SOP),” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Nik Mohd. Azlan, ini adalah ancaman pertama kali diterima Maik dan pihaknya tetap mengambil berat soal keselamatan tanpa mengira ia ugutan palsu ataupun tidak.

Beliau berkata, urusan pejabat akan disambung sebaik pihak polis selesai melakukan pemeriksaan. – 8 Jun 2017.