Polis Rakam Saksi Kemalangan Tujuh Maut

Polis telah merakam percakapan sembilan saksi berhubung kes kemalangan maut tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi di Kampung Telekong, Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Abdullah Roning berkata, keterangan yang diambil itu bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan daripada jabatan-jabatan pakar bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Setakat ni, seramai sembilan orang saksi telah dirakamkan percakapan mereka termasuk pemandu van berkenaan.

“Pemandu van berkenaan telah hadir semalam untuk dirakamkan percakapannya selepas keluar daripada hospital. Pihak kami telah mengambil tindakan mengikut prosidur siasatan yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Sokmo.net hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi jumaat lalu, tujuh pelajar berkenaan maut selepas van dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu.

Lebih memilukan, rombongan mereka yang terdiri daripada 12 pelajar dan dua guru pengiring tersebut dikatakan dalam perjalanan untuk menyertai sebuah program tafsir al-Quran sempena Ramadan di Kota Bharu. – 8 Jun 2017.