Tak Perlu Hantar Surat Kata Speaker

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Abdullah Ya’kub menegaskan pihaknya tidak perlu menghantar surat kepada Datuk Mat Yusoff Abd. Ghani berhubung kedudukannya sebagai wakil rakyat selepas diisytihar muflis.

Abdullah berkata, beliau hanya mengisytiharkan tentang kelayakan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri selepas Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Selangor mengisytiharkan Mat Yusoff muflis dan belum menyelesaikan perkara itu.

“Tak perlu hantar surat. Beliau sendiri maklum mengenai perkara itu.

“Beliau diisytiharkan muflis dan belum selesaikan lagi, kalau selesai, tak ada masalah. Saya sebagai Speaker isytiharkan beliau hilang kelayakan sebagai ADUN kerana kebangkrapan tersebut,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mat Yusoff yang menegaskan belum menerima sebarang surat berhubung pengguguran jawatan sebagai ADUN Nenggiri.

Mengulas tindakan Mat Yusoff yang mempertikaikan pengisytiharan kebangkrapannya terus kepada media, Abdullah berkata, beliau hanya menjalankan tugas sebagaimana diminta.

“Saya bertindak sebagaimana diminta. Saya hanya nyatakan beliau hilang kelayakan sebagai ADUN disebabkan muflis,” katanya.

Khamis lepas, Abdullah mengisytiharkan Mat Yusoff tidak layak menjadi anggota DUN Nenggiri kerana muflis sekali gus menjadikan kerusi DUN itu kosong.

DUN Kelantan menerima surat pemakluman daripada Jabatan Insolvensi Malaysia cawangan Selangor pada 28 Mei lepas yang memaklumkan Mat Yusoff dari Barisan Nasional (BN) telah muflis.

Mat Yusoff dalam pada itu bagaimanapun mendakwa, masih anggota DUN Nenggiri berikutan tindakan Speaker mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN itu tidak mengikut peraturan dan Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Beliau berkata, Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri itu hanya berdasarkan Perkara 31(1)(b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan yang menyatakan seseorang yang muflis dan masih belum diselesaikan tidak layak menjadi anggota DUN Kelantan.

“Sebaliknya Perkara 32 dalam perlembagaan sama tidak diambil kira, yang menyebut mana-mana masalah berbangkit sama ada Ahli Dewan (Undangan) Negeri menjadi tidak layak daripada menjadi ahlinya maka keputusan dewan itu hendaklah diambil dan hendaklah jadi yang muktamad,” katanya. – 8 Jun 2017.