Mengamuk Tidak Dapat BR1M

Seorang lelaki mengamuk dan bertindak menetak kereta milik Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) di Kampung Gong Duek, Hulu Besut kelmarin kerana tidak mendapat Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd. Zamri Mohd. Rowi berkata, lelaki berusia 30-an itu dipercayai mengalami gangguan emosi dan dikatakan pernah mengugut kedua-dua ibu bapanya bagi mendapatkan wang.

Katanya, ekoran tindakan ganas itu, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan menggunakan pistol ”taser gun M26C” tetapi tidak berkesan sehinggalah lelaki itu melarikan diri ke dalam hutan.

“Apabila cuba ditenteramkan, suspek beralih pula untuk meminta wang daripada Pengerusi JKKK itu dan dia bertambah marah apabila permintaannya tidak dilayan,” katanya.

Mohd. Zamri berkata, suspek yang berang telah menuduh mangsa tidak melayani permohonan wang BRIM yang dipohonnya sebelum ini, hingga mengambil tindakan menetak bahagian belakang kereta Proton Wira kepunyaan mangsa.

“Walaupun empat tembakan dilepaskan ke atas tubuh mangsa termasuk pancutan air oleh Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang datang membantu, suspek masih tidak dapat ditangkap sebaliknya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran,” katanya.

Katanya, suspek mempunyai tiga kesalahan lampau termasuk Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan pihak polis meneruskan usaha untuk memberkas suspek. – 8 Jun 2017.