‘Orghe Parlimen Terre’ Cakna Rakyat

Kira-kira 40,000 penduduk di kawasan parlimen Ketereh termasuk anggota tentera di Kem Desa Pahlawan menerima agihan pek makanan sepanjang ramadan ini.

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, agihan tersebut dibuat di 33 program Orghe Parlimen Terre (OPT) dengan peruntukkan berjumlah RM1 juta.

“Setakat ini kita telah melaksanakan agihan pek makanan dalam bentuk kotak cakna dan bantuan lain seperti beras, minyak masak dan gula kepada 14,000 penerima.

“Ini adalah progran cakna mesra yang saya buat mukim ke mukim, kita sentiasa laksana program membantu rakyat sama ada berskala kecil atau besar dari masa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan pek makanan kepada 272 penerima di Mukim Setek.

Sementara itu, penerima, Kalsom Leni, 80 berkata, dia amat bersyukur apabila mendapat bantuan berkenaan untuk bekalan sepanjang bulan ramadan ini.

“Saya tinggal bersama anak saya, Ramli Awang, 50 yang hanya bekerja kampung dengan pendapatan kurang RM1,000.

“Tiada apa yang dapat diucapkan selain berterima kasih kepada Tan Sri (Annuar) di atas bantuan ini. Biasanya kami berbuka ala kadar saja ikut duit yang ada,” katanya yang tinggal di Kampung Setek.

Seorang lagi penerima, Esah Mohamad, 66, berkata, sebagai ibu tunggal, bantuan itu amat bermakna buatnya yang sudah kehilangan suami hampir 10 tahun lalu.

“Bantuan ini dapat meringankan beban memandangkan saya tidak lagi mampu bekerja kerana menghadapi masalah kesihatan akibat tua,” katanya. – 9 Jun 2017.