3,000 Asnaf Parlimen Kota Bharu Terima Sumbangan Ziarah Kasih Ramadan

Seramai 3,000 asnaf dan golongan memerlukan di Parlimen Kota Bharu menerima sumbangan menerusi Program Ziarah Kasih Ramadan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas hari ini.

Kota Bharu merupakan Parlimen ke 24 pelaksanaan program anjuran Yayasan Tabung Haji dengan kerjasama UMNO dan badan korporat itu.

Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pengagihan sumbangan tersebut melibatkan 1,500 penerima zakat terdiri daripada asnaf dan 1,500 penerima melibatkan golongan memerlukan.

“Sumbangan itu bertujuan meringankan beban penerima sempena bulan Ramadan dan sebagai persediaan menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh; Ahli Parlimen Kota Bharu merangkap Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Shukry Mohd. Salleh.

Selain Kota Bharu, Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut akan berada di Parlimen Kuala Krai, Pasir Puteh dan Bachok bagi menyempurnakan program tersebut hari ini. – 10 Jun 2017.