BSN Buat Kejutan, Norlida Dapat Beraya Dengan Anak

Bank Simpanan Nasional (BSN) membuat kejutan istimewa untuk pasangan suami isteri dari Kampung Pulau Belanga, Kedai Lalat apabila membawa pulang puteri kesayangan mereka yang belajar di Universiti Kagoshima, Jepun bagi bersama keluarga tersebut menyambut Syawal kali ini.

Pasangan tersebut, Ibrahim Isa, 57, dan Norlida Ismail, 55, sudah tiga tahun tidak bertemu dengan Anis Farhana, 27, selepas wanita itu yang ditemani suaminya, menyambung pengajian di Jepun sejak tahun 2014.

Pertemuan istimewa itu diaturkan oleh BSN menerusi Kempen Riuhkan Raya BSN 2017.

Lebih manis, Anis Farhana turut membawa pulang anaknya, Nik Nur Saibah Al Khawlah Nik Mohd. Faiz, 2, untuk dipertemukan buat pertama kali dengan kedua ibu bapanya.

Anis Farhana berkata, mereka sekeluarga tidak dapat pulang beraya di kampung sejak tiga tahun lalu disebabkan faktor kewangan.

Penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) tahun kedua itu berkata, dia hanya bergantung kepada suami yang melakukan pelbagai jenis pekerjaan untuk menampung perbelanjaan keluarga dan pengajiannya.

“Saya cukup rindu dengan keluarga di kampung. Hasrat saya untuk berpuasa dan menyambut hari raya bersama keluarga akhirnya menjadi kenyataan apabila terpilih dalam kempen yang dijalankan BSN ini.

“Saya tidak dapat gambarkan perasaan saya ketika ini, sedih, sayu semuanya ada. Terima kasih BSN kerana merealisasikan impian saya untuk beraya di kampung tahun ini,” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar dan Pengarah Perniagaan BSN negeri, Komaruddin Mustafa.

Sementara itu, Puspa Marina berkata, pertemuan yang diaturkan untuk Anis Farhana dengan keluarganya adalah sebahagian daripada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihaknya.

“Kita harap usaha yang dilakukan oleh BSN ini membawa erti kepada keluarga tersebut selain berharap sambutan hari raya kali ini akan menjadi paling bermakna buat mereka,” katanya. 10 Jun 2017.