Cadang Kosong Penempatan Penduduk Tebing Sungai Golok

Kawalan keselamatan di kawasan sempadan Kelantan – Thailand akan lebih berkesan sekiranya sepanjang tebing Sungai Golok  ‘dikosongkan’ daripada sebarang penempatan penduduk.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum berkata, ketika ini, penduduk di sepanjang Sungai Golok dilihat tidak mempedulikan kewujudan zon penampan mahupun rizab sungai apabila menggunakan kawasan itu untuk membina kediaman mereka.

Beliau berkata, keadaan itu secara tidak langsung menyukarkan pasukan keselamatan membuat rondaan dan pengawasan lebih ketat terhadap sempadan negara.

“Ada rumah, dapurnya pun dibina di atas Sungai Golok. Ini menyebabkan kekangan untuk anggota melaksanakan tugas mengawal keselamatan sempadan. Malah kita dapati ada kawasan tertentu dimiliki orang persendirian.

“Sehubungan itu saya cadangkan supaya kerajaan cari jalan pindahkan penduduk terbabit, ambil semua tanah di sepanjang sempadan dan jadikannya sebagai kawasan larangan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan di sekitar kawasan sempadan di sepanjang Sungai Golok serta berbuka puasa bersama anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pos To’O. – 9 Jun 2017.