Sagu Hati H5N1 Sebelum Raya

Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM413,000 sebagai sagu hati kepada penternak yang kerugian akibat ternakan dijangkiti selesema burung atau H5N1 yang melanda Kelantan, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, bayaran sagu hati itu membabitkan 56,953 ternakan unggas dan 17,571 telur unggas yang dimusnahkan sepanjang tempoh kawalan pencegahan di 129 pusat penternakan.

Katanya, kerajaan setuju membayar sagu hati tersebut sebelum sambutan Aidilfitri kepada 1,023 penternak dan kaedah pembayaran dilakukan secara tunai ataupun melalui bank mengikuti kategori unggas yang dimusnahkan.

Beliau berkata, setakat hari ini kementerian sudah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,843 sampel dalam tempoh 72 hari lalu dan tiada pengesanan baharu virus.

“Kerajaan memerlukan 90 hari bagi mewartakan bebas penyakit H5N1 ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WAH) bagi membolehkan sekatan eksport unggas negara ditarik balik,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada pertengahan Mac lalu, sebanyak 23 kampung di Kelantan dijangkiti wabak H5N1 membabitkan empat jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Bachok, sekali gus diisytiharkan sebagai bencana negeri serta diletakkan di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau memberitahu, pihaknya masih menjalankan sekatan jalan raya di empat kawasan di Kelantan bagi mengelak unggas dari kawasan berkenaan dibawa keluar dan sekatan itu dijangka ditamatkan pada 19 Jun ini. – 10 Jun 2017.