Laporan Sarawak Report Meragukan Kata Musa

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, laporan Sarawak Report mengenai wang RM9.5 juta daripada syarikat SRC International yang disalurkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke dalam akaun peribadi peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah meragukan.

Katanya, laporan itu dilihat seperti ada tujuan tertentu yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.

“Jika benar segala dakwaan itu, dan ada bukti kukuh mengenainya, lapor terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) biar ada siasatan telus… jangan buat tanggapan tidak betul.

“Jangan kelirukan rakyat dengan tohmahan tidak benar, ” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Beliau turut mempersoalkan, sekiranya benar peguam itu menerima wang tersebut untuk memenjarakan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia bermakna Muhammad Shafee juga memberi rasuah kepada semua hakim mahkamah rayuan.

Tambahnya, hujah sudah diberikan oleh pendakwa raya tentang ketulenan keterangan dan kelima-lima hakim mahkamah rayuan juga telah meneliti semua keterangan tersebut, seterusnya mengekalkan hukuman terhadap Anwar.

“Apabila hukuman dikekalkan, bermakna wujud keterangan, dan kejadian ini telah dibuktikan di mahkamah,” katanya.

Musa bagaimanapun menafikan kenyataannya itu sebagai membela Najib.

“Ini bukan soal membela Najib, tapi sebagai rakyat biasa, kami juga mahu tahu kebenarannya. Saya bukan orang kerajaan, saya juga bukan orang politik dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

“Kami cuma mahukan kebenaran supaya rakyat tidak terus dikelirukan. Kalau benar mereka ada bukti, serahkan kepada pihak berkuasa. Kenapa nak takut?,” katanya. – 11 Jun 2017.