Pekebun RISDA Terima Dividen RM4.3 Juta

Seramai 1,678 pekebun Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kelantan menerima bayaran dividen berjumlah RM4.3 juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, agihan dividen tersebut merangkumi 662 peserta Rancangan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB) dan 1,016 peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

“Untuk peserta RTBB di seluruh negeri ini, kita telah mengagihkan sebanyak RM1.4 juta manakala untuk peserta TSK pula sebanyak RM2.9 juta melibatkan 44 buah TSK.

“Pembayaran ini adalah selaras dengan dasar kerajaan yang memberi penekanan kepada sektor pertanian dan pembangunan masyarakat luar bandar,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Omar Daud, 91, dari Kampung Pemanok, Machang berkata, amat gembira dan bersyukur kerana tidak pernah tercicir untuk menerima dividen RISDA setiap tahun.

“Hari ini, saya menerima dividen berjumlah RM1,400 dan saya amat berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang sentiasa menjaga kebajikan pekebun seperti kami,” katanya. – 10 Jun 2017.