Putra Malaysia Kelantan Agih 1,000 Pek Makanan Percuma

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Putra Malaysia Kelantan mengagihkan hampir 1,000 pek juadah berbuka puasa kepada pengunjung di Bazar Ramadan Taman Bendahara, Pengkalan Chepa hari ini.

Lebih unik, program yang turut mendapat kerjasama Seri Ayam Madu Wakaf Bharu, Rizal Char Kuey Teow Jalan Long Yunus, Nasi Air Tiga B, Pengkalan Chepa dan Varia Armada itu apabila mereka memilih untuk memborong semua juadah makanan di gerai terdiri daripada golongan ibu tunggal dan warga emas.

Menurut Yang Dipertua Putra Malaysia Kelantan, Ahmad Amiruddin Ahmad Nizirin, jelajah kali ketiga itu memilih gerai yang menjual nasi air, kuih muih, cendol, air jagung dan pelbagai lagi jenis juadah lain untuk diborong seterusnya diagihkan.

“Program serampang dua mata yang dilakukan itu bukan sahaja membantu orang ramai mendapatkan makanan percuma namun ia juga dapat memberi ruang kepada peniaga terpilih untuk berbuka puasa bersama keluarga di rumah selepas kita memborong kesemua barangan mereka lebih awal.

“Jelajah ini akan diteruskan sehingga berakhirnya Ramadan di beberapa lagi bazar terpilih di seluruh negeri ini,” katanya kepada selepas program tersebut. – 11 Jun 2017.