RM200 Juta Dividen Pekebun Risda Tidak Dituntut

Kira-kira RM200 juta dividen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)  masih lagi tidak dituntut oleh pekebun sejak 1974 sehingga kini.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, dividen berkenaan tidak dapat diagihkan kerana ada daripada mereka gagal dikesan selain ada yang telah meninggal dunia.

“Setakat ini, seramai 1,423 peserta daripada 10 buah negeri di seluruh negara tidak dapat dikesan oleh pihak RISDA meskipun pelbagai usaha telah dilakukan.

“Manakala seramai 10,876 peserta yang telah meninggal dunia dan masalah pusaka yang masih belum selesai sehingga menyukarkan pihak RISDA membuat pembayaran dividen tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, pihaknya menyeru mana-mana pewaris kepada peserta yang meninggal dunia supaya menyelesaikan urusan pusaka bagi memudahkan pihak RISDA membuat pembayaran dividen.

“Selagi masalah pusaka ini tidak diselesaikan, agihan dividen juga tidak akan dapat dilaksanakan.

“Kita mahu menyelesaikan segera agihan dividen ini memandangkan setakat ini sudah RM200 juta dividen yang terkumpul dan tidak dapat diagihkan kepada penerima,” katanya. – 10 Jun 2017.