Tabung Haji Jamin Keselamatan, Keselesaan Jemaah

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan memastikan keselamatan serta keselesaan kira-kira 32,200 jemaah haji negara tahun ini terjamin meskipun negara Asia Barat sedang berhadapan dengan konflik.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, krisis yang berlaku di Asia Barat berikutan keputusan beberapa negara memutuskan hubungan dengan Qatar dijamin tidak akan menjejaskan urusan para jemaah haji.

Dalam masa sama, Abdul Azeez turut menyeru keseluruhan jemaah supaya patuh dengan arahan yang dikeluarkan urusetia Tabung Haji bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.

“Alhamdulilah persiapan kita berjalan dengan lancar dan saya yakin krisis yang berlaku di negara Asia Barat pada masa ini tidak akan menjejaskan para jemaah.

“Seramai 480 petugas akan memantau dari masa ke semasa perkembangan jemaah haji di tanah suci Mekah nanti. Saya akan mengetuai rombongan tersebut nanti dan akan pastikan keselamatan dan keselesaan mereka terjamin,” katanya selepas Program Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak 2017 Parlimen Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas.

Seramai 3,000 asnaf dan golongan memerlukan dari Parlimen Kota Bharu menerima sumbangan menerusi program tersebut.

Mengulas mengenai program itu, beliau memberitahu, pihaknya akan meneruskan jelajah bantuan berkenaan ke 65 Parlimen di seluruh negara.

Katanya, setakat ini, jelajah tersebut telah menyelesaikan agihan bantuan di 27 Parlimen.

“Kita akan selesaikan bantuan tersebut sehingga menjelang malam hari raya nanti,” katanya. – 10 Jun 2017.