Harga Hasil Laut Meningkat, Pengguna Rasa Terbeban

Harga hasil laut di beberapa buah pasar sekitar Kota Bharu, Kelantan didapati meningkat sejak bulan puasa ini.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan mengakui perkara itu berlaku di beberapa buah pasar di sekitar bandar tersebut.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, kenaikan itu mungkin disebabkan kekurangan atau kesukaran bagi mendapatkan bekalan selain permintaan yang tinggi terhadap hasil laut.

“Kenaikan berlaku antara RM1 dan RM2 bagi setiap barangan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan sokmo.net mendapati harga hasil laut seperti udang dan sotong meningkat antara RM2 hingga RM5.

Misalnya udang, dijual dengan harga RM36 berbanding RM34, manakala sotong RM25 berbanding RM20 sekilogram sebelum ini.

Harga ikan juga didapati mengalami kenaikan antara RM1 hingga RM3.

Turut meningkat ialah harga daging tempatan yang dijual dengan RM32 berbanding RM27 dan RM28 sekilogram sebelum ini.

Beberapa peniaga yang ditemui memberitahu, kenaikan harga tersebut tidak dapat dielak memandangkan mereka memperolehi hasil tersebut dengan harga yang tinggi dari pembekal.

“Pembekal mungkin terpaksa menaikkan sedikit harga ini memandangkan hasil laut kini sukar untuk didapati kerana ramai nelayan tidak turun ke laut waktu bulan puasa, kebetulan pula keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini,” kata seorang peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah.

Dalam pada itu, rata-rata pengguna menyifatkan kenaikan itu sebagai membebankan mereka terutama menjelang musim perayaan.

Justeru, mereka meminta pihak berkenaan memandang serius perkara tersebut bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan kos perbelanjaan yang tinggi. – 11 Jun 2017.