Jom Ronda, Singgah Sahur Eratkan Hubungan Masyarakat

Program Jom Ronda dan Singgah Sahur berjaya menghimpunkan pelbagai latar belakang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang cintakan perpaduan, keamanan serta keharmonian dalam konteks hidup bermasyarakat.

Program tersebut anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN); Kawasan Rukun Tetanga (KRT) dan polis daerah Pasir Puteh

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pengisian program tersebut ternyata memeriahkan ma­lam Ramadan dengan mendirikan ibadat sunat tanpa menjejaskan tanggungjawab sukarela yang dilaksanakan.

“Melaksanakan kerja amal dan sosial juga sebahagian dari­pa­da ibadat yang akan mendapat ganjaran Allah asalkan niat yang ikhlas,” katanya ketika melancarkan program Jom Ronda dan Singgah Sahur di Dewan Restoran Dapur Panas, di Cherang Ruku, Pasir Puteh.

Beliau berkata, KRT adalah platform terbaik untuk memupuk semangat kejiranan dan solidariti dalam masyarakat dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) turut membantu mewujudkan kerjasama di antara masyarakat untuk memastikan keselamatan di kawasan mereka sentiasa terjaga.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah, Timbalan Pengarah JPNIN Kelantan, Shukri Omar; Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Abdul Rozak Muhamad dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.

Asyraf Wajdi turut mengunjungi Pusat Kawalan SRS KRT Kampung Changgai, Pusat SRS KRT Sri Aman, Taman Kobena dan destinasi terakhir Jom Ronda di Pondok Haji Yaakub Samba.

Program yang bermula pada 12.30 tengah malam itu berakhir dengan solat tahajud, sahur dan tazkirah subuh bersama warga pondok berkenaan. – 11 Jun 2017.