PPDNKK Kelantan Kerja Pada Aidilfitri

Anggota penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan akan bertugas seperti biasa pada  Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarahnya, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, anggota terbabit akan beroperasi di pasar-pasar seluruh negeri itu bagi memantau peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang di musim perayaan.

“Terutamanya ayam, Kita tidak mahu kejadian harga ayam melambung tinggi pada sambutan Aidilfitri tahun lalu kembali berulang kali ini,” katanya pada majlis jualan minyak masak terus dari kilang kepada masyarakat di Pasar Tani Kampung Bechah Semak, Pasir Mas.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran, tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang cuba mengambil kesempatan pada musim perayaan dan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan tersebut.

“Jadi kita menyeru orang ramai untuk memberikan maklumat sekiranya berlaku kenaikkan harga barangan sepanjang tempoh tersebut,” katanya

Tambahnya, penyaluran maklumat itu penting bagi memudahkan tindakan segera diambil ke atas peniaga yang ingkar.- 11 Jun 2017.