Enam Hari Rebat Tol Plus Sempena Aidilfitri

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menawarkan rebat tol sehingga 30 peratus kepada pengguna rangkaian lebuh raya kendaliannya sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Rebat tol tersebut bakal dinikmati oleh pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta atau kenderaan dua gandar) yang membuat perjalanan melebihi 100 kilometer di semua lebuh raya kendalian PLUS selama enam hari iaitu pada 19, 20, 21, 28, 29 Jun dan 3 Julai ini.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata, penawaran rebat 30 peratus adalah untuk transaksi menerusi kad PLUSMiles sebagai tanda menghargai kesetiaan pemegang kad itu.

Rebat 10 peratus pula diberikan untuk semua transaksi elektronik lain termasuk pengguna kad Touch ”n Go pada tarikh-tarikh tersebut.

“Ia merupakan sebahagian daripada langkah PLUS untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan dan pada masa sama, menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan lebuh raya PLUS,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Isnin.

Menurut Azman, tawaran itu juga bertepatan dengan pelaksanaan transaksi tol 100 peratus elektronik yang telah dilaksanakan di semua lebuh raya kendalian syarikat itu sejak 26 April lepas.

Beliau berkata, pada tarikh-tarikh itu, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa tetapi rebat tol 30 peratus dan 10 peratus tersebut akan dimasukkan ke dalam kad Touch ”n Go atau PLUSMiles dalam bentuk tambah nilai apabila pengguna menambah nilai kad mereka antara 15 Julai hingga 14 Oktober 2017 di pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

Rebat itu bagaimanapun tidak meliputi transaksi di Plaza Tol Tanjung Kupang, Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar dan Jambatan Pulau Pinang.

Selain itu, Azman berkata, PLUS juga telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi pengguna Lebuhraya Utara Selatan terutamanya pada hari puncak iaitu antara 21 hingga 3 Julai ini.

“TTA memainkan peranan yang penting dalam mengagihkan trafik di lebuh raya. Apabila orang ramai mematuhi jadual perjalanan ini, ia dapat mengelakkan kenderaan yang menuju pelbagai destinasi bertembung di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama,” katanya.

PLUS menjangkakan sebanyak 1.7 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan setiap hari sempena Aidilfitri.

Untuk perkembangan terkini dan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile Apps atau menghubungi talian PlusLine 1800-88-0000. – Bernama, 13 Jun 2017.