Jenazah Enam Beranak Dikebumikan Dalam Satu Liang

Enam beranak yang terkorban dan rentung dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di Kilometer 25, Jalan Bahau-Keratong selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Seberang Jelawat, Bachok pagi ini.

Jenazah Wan Mohd. Fauzi Wan Ibrahim, 51, dan isteri, Mas Noraida M Yusoff, 45, serta anak mereka, Wan Muhamad Muhaimin, 22; Wan Nor Atirah, 18; Wan Muhamad Amar Haziq, 13; dan Wan Nor Alisha, 7, disemadikan kira-kira pukul 3 pagi.

Terdahulu, semua jenazah yang dibawa dari Jempol Negeri Sembilan disembahyangkan di Masjid Naim Jelawat sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan tersebut yang dihadiri kira-kira 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, saudara mara dan penduduk kampung.

Dalam masa sama, satu-satunya anak pasangan suami isteri tersebut yang terselamat, Wan Muhammad Hazim,19, dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga mengalirkan air mata saat menatap ahli keluarganya buat kali terakhir sebelum disemadikan.

Sementara itu, Muhammad Hazim ketika ditemui berkata, meskipun terpaksa menempuh dugaan berat kehilangan seluruh ahli keluarga dalam sekelip mata, namun dia tetap reda dengan suratan takdir.

“Pada masa ini, saya masih lemah dan memerlukan kekuatan untuk bangun semula selepas kehilangan insan tersayang,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang semalam, pasangan suami isteri tersebut bersama empat anak mereka rentung apabila kenderaan pel­bagai guna (MPV) jenis Proton Exora yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan empat buah kenderaan.

Selain keluarga tersebut, turut maut dalam nahas berkenaan, dua mangsa yang dikenali sebagai Osman Mohamed Taip, 31, serta Rosniza Othman, 32, yang menaiki kereta Perodua Myvi bersama seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang cedera. – 13 Jun 2017.