Khalid Bincang Dengan PM Selesai Kemelut FGV

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi penyelesaian terhadap kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV).

Pertemuan bagi membincangkan perkara itu dijadual akan diadakan Rabu ini.

Shahrir berkata pertemuan itu yang dijangka berlangsung di Kementerian Kewangan, Putrajaya akan membincangkan pelbagai perkara berkaitan FGV secara lebih terperinci.

“Saya kena jumpa Perdana Menteri untuk tahu lebih lanjut apa pandangan, apa yang dimaksudkan dengan laporan-laporan mengenai FGV ini, sebab saya duduk di luar.

“Felda hanya sebagai pemegang saham terbesar dalam FGV.

“Mungkin dalam perjumpaan itu nanti akan tahu apa cadangan-cadangan yang sesuai, macam mana nak selesaikan isu ini. Insyaallah sempat sebelum raya ni. Ada lebih kurang dua minggu lagi (untuk selesaikan),” katanya.

Shahrir bercakap kepada pemberita di majlis Ihya Ramadan Warga Felda bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Pengerusi Felda di Felda Kerteh 6 semalam. – 13 Jun 2017.