Muhammad Faiz Hafizuddin Jalani Pembedahan Betulkan Tulang Belakang

Salah seorang dari 14 warga Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang terlibat dalam kemalangan di Kampung Telekong, Kuala Krai baru-baru ini menjalani pembedahan bagi membetulkan tulang belakang.

Muhammad Faiz Hafizuddin Mohd. Izahir, 17, memasuki dewan pembedahan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada pukul 10.30 pagi ini.

Menurut bapanya, Mohd. Izahir Kassim, 49, pembedahan itu bagi memasangkan alat untuk mengikat tulang belakang Muhammad Faiz Hafizuddin yang patah di dua tempat.

“Doktor sebut tadi Insya Allah pembedahan ini akan berjaya.

“Sepatutnya pembedahan dibuat lebih awal kerana mahu mengelak risiko lumpuh tapi keadaan anak saya tidak stabil sebelum ini.

“Malah semalam pun dia demam tetapi syukurlah hari ini dia cukup stabil untuk pembedahan dan pihak doktor pun tidak mahu menangguhkan lagi kerana bimbang risiko jangkitan kuman,” katanya hari ini.

Muhammad Faiz Hafizuddin adalah salah seorang daripada 14 warga Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang terlibat dalam kemalangan van terbabas di Kampung Telekong, Kuala Krai sehingga meragut tujuh nyawa baru-baru ini. – 13 Jun 2017.