Syakir Sudah Sedar

Keadaan Ahmad Syakir Azfar Abdul Rahim, 16, salah seorang pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi yang parah akibat kemalangan di Kampung Telekong, Kuala Krai minggu lalu dilaporkan bertambah baik.

Ahmad Syakir yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kuala Krai kembali sedar tengahari semalam selepas lebih seminggu tidak sedarkan diri akibat kecederaan serius di beberapa bahagian organ termasuk buah pinggang.

Perkembangan tersebut sekaligus menggembirakan seluruh ahli keluarganya yang tidak pernah putus-putus berdoa dan menaruh harapan agar anak bongsu daripada lima beradik itu kembali sembuh seperti biasa.

Bapa Ahmad Syakir, Abdul Rahim Salleh, 51, berkata, dia bersyukur anaknya telah sedar selain pihak hospital memaklumkan perkembangan Ahmad Syakir semakin baik dan tidak perlu melakukan sebarang pembedahan setakat ini.

Katanya, antara perkara pertama yang diminta Ahmad Syakir sejurus selepas sedar ialah ice-blended kerana sudah terlalu lama mengidamkannya.

“Keadaan Syakir semakin baik, dia (Syakir) sudah boleh bercakap, minum selain makan bubur nasi.

“Pada masa ini, Syakir masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mungkin dipindahkan ke wad biasa dalam masa sehari dua lagi,” katanya.

Abdul Rahim berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak hospital yang telah memberi perkhidmatan terbaik ketika merawat anaknya dan pelajar tahfiz yang lain.

“Saya berharap Ahmad Syakir cepat sembuh untuk meneruskan kembali pengajian tahfiz selain dapat menyambut Hari Raya Aidilfiti bersama keluarga di rumah,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi 2 Jun lalu, tujuh pelajar Maahad Tahfiz Al-Hashimi maut selepas van dinaiki mereka terbabas lalu merempuh sebuah rumah di Kampung Telekong, Kilometer 55, Jalan Kuala Krai-Kota Bharu.

Rombongan mereka yang terdiri daripada 12 pelajar dan dua guru pengiring tersebut dikatakan dalam perjalanan untuk menyertai sebuah program tafsir al-Quran sempena Ramadan di Kota Bharu. – 13 Jun 2017.