Tiga Jari Hancur Angkara Mercun Buatan Sendiri

Gara-gara mercun buatan sendiri, seorang lelaki berusia 47 tahun dari Kampung Kutan Tengah, Pasir Mas hancur tiga batang jari tangan kiri.

Dalam kejadian pada pukul 10.30 malam kelmarin, Wan Rodzi Wan Dullah cedera selepas mercun yang diubahsuai meletup di tapak tangannya.

Mangsa berkata, semasa kejadian dia bermain mercun tersebut yang telah diubahsuai dengan meletakkan belerang mercun bola ke dalam sebatang besi.

“Semasa cuba mencucuh sumbu mercun tersebut ia meletup secara tiba-tiba.

“Ibu jari, jari telunjuk dan jari hantu saya hancur terkena serpihan besi dan letupan belerang tersebut,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II.

Kejadian itu menjadikan dia mangsa ketiga letupan mercun yang dilaporkan di Kelantan. – 13 Jun 2017.