Dua Remaja Mangsa Terbaru Mercun Di Kelantan

Dua remaja masing-masing hancur tangan kanan dan cedera di paha kiri gara-gara bermain mercun buatan sendiri dalam dua kejadian berasingan di Kelantan kelmarin dan Ahad lalu.

Kes pertama melibatkan pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badang, Muhammad Haikal Adnan Mohd. Nor, 13, yang cedera di paha kiri selepas mercun terbabit meletup tiba-tiba semasa dia memampatkan belerang mercun bola ke dalam bekas plastik lain.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang Ahad lalu, remaja itu sedang bermain mercun dengan seorang rakannya berusia 14 tahun berhampiran rumahnya di Jalan PCB, Badang.

Sementara itu, mangsa kedua pula melibatkan seorang pelajar Sekolah Menengah Agama Padang Lepar, Mohammad Haikal Ierman Sabeki, 16, yang hancur jari hantu dan tapak tangan kanan selepas bermain mercun buatan sendiri di rumahnya Kampung Kor, Beta kelmarin. – 14 Jun 2017.