Kebersamaan PAS, UMNO Diharap Berkekalan

Kebersamaan antara UMNO dan PAS kebelakangan ini sepatutnya wujud sejak dahulu lagi demi kepentingan Melayu serta Islam di negara ini.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, perkembangan positif itu diharap dapat berkekalan meskipun kedua-dua parti itu sentiasa bersaing dalam pilihan raya.

Dalam masa sama, beliau turut bersetuju dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang mahu kedua-dua parti itu mengenepikan perbezaan seterusnya mengelakkan perbalahan pada masa akan datang.

“Kita lihat sejak akhir-akhir ini, UMNO dan PAS khususnya di Kelantan sudah tidak ada pergaduhan seperti dahulu. Politik-politik juga, bertanding-bertanding juga namun kebersamaan itu mesti ada demi kepentingan Islam.

“Perbezaan sedikit sebanyak itu kita sepatutnya lupakan,” katanya.

Baru-baru ini, semasa berucap pada Program Ziarah Kasih Ramadan Al-Mubarak 2017 Parlimen Kota Bharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas, Takiyuddin mengakui bahawa PAS dan UMNO mempunyai banyak kebersamaan namun atas sedikit perbezaan satu ketika dahulu, kedua-dua parti tersebut berbalah.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, bagaimanapun sejak ak­hir-akhir ini, persefahaman kedua-dua parti itu dilihat semakin tinggi terutama melibatkan kerjasama de­mi kepentingan rakyat dan Islam.

Program tersebut turut menarik perhatian ramai apabila menemukan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Takiyuddin di pentas sama meskipun kedua-dua pemimpin tersebut pernah menjadi seteru yang merebut kerusi Parlimen tersebut.

Takiyuddin hadir dalam program yang dianjurkan oleh UMNO itu selain bersama Mohamad Fatmi dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim mengagihkan sumbangan kepada rakyat. – 14 Jun 2017.