Utusan-KADA Agih 400 Gulai Kawah

Lebih 400 bekas gulai kawah diedarkan kepada orang ramai sempena program Ihya Ramadan Utusan Biro Kelantan – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pasar Ketereh petang semalam.

Gulai tersebut diagihkan oleh Pengerusi KADA, Datuk Md. Alwi Che Ahmad bersama Pengurus Besar KADA, Mohd. Ridzuan Ismail dan Ketua Biro Utusan Kelantan, Azran Fitri Rahim serta petugas-petugas dari kumpulan Utusan serta KADA.

Gulai yang dimasak menggunakan satu kawah besar itu habis diedarkan hanya dalam tempoh lima minit bermula pada pukul 4 petang.

Md. Alwi berkata, program yang diadakan dengan kerjasama Utusan Malaysia itu akan diteruskan pada masa datang selepas mendapat sambutan cukup hebat.

Beliau berkata, dalam tempoh lima minit, pihaknya berjaya mengagihkan lebih 400 bekas gulai kawah kepada orang ramai di kawasan sekitar.

“Kita akan laksana lagi program seumpama ini. Terima kasih Utusan dan KADA menganjurkan program agihan gulai kawah ini,” katanya ketika ditemui pada progam tersebut. – 14 Jun 2017.