Hasanuddin Ketua Polis Kelantan Baharu

Bekas Ketua Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Hasanuddin Hassan dilantik sebagai Ketua Polis Kelantan baharu berkuat kuasa hari ini.

Hasanuddin yang berasal dari negeri ini mengantikan Allahyarham Datuk Dr. Ab. Rahman Ismail yang meninggal dunia pada April lalu.

Majlis serah terima tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan dengan disaksikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman.

Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) negeri, Napisah Abd. Rahman kepada Datin Farida Hanim Ruslan.

Hasanuddin berkata, beliau akan meneruskan usaha kepemimpinan terdahulu membanteras jenayah dan memastikan keselamatan penduduk terjamin.

Pada masa sama, beliau juga tekad meneruskan usaha Allahyarham Ab. Rahman iaitu memerangi dadah secara habis-habisan di negeri itu.

“Kita akan terus jihad perangi dadah. Saya juga mempunyai matlamat sama dengan Allahyarham Ab. Rahman untuk memastikan masalah dadah ini terus diperangi,” katanya. – 15 Jun 2017.