Ramadan, Tahanan Dang Wangi Anugerah Tidak Ternilai Episod 1

Setiap kali cuti Nuzul Al Quran, saya akan teringat akan sebuah pengalaman – terpahat antara pahit dan manis -. Dan pengalaman itu sememangnya sangat bernilai, menjadi ilmu yang tidak mungkin tercapai dengan beberapa sijil dan ijazah dari mana-mana gedung ilmu di dunia ini.

Petang cuti Nuzul Al Quran 2008, saya sekeluarga ke Penambang, tengok kain songket untuk beraya. Lepas itu ke Pasar Gok Kapur untuk beli juadah berbuka. Saya beli Paprit Belut. Lebih kurang jam 5.30 ptg kami sekeluarga kembali ke rumah di Lorong Gu Kampung Demit. Sebuah kereta Pajero berwarna putih melintasi, buat pusingan U sebelum berhenti mengejut betul-betul di hadapan rumah.

Tiga orang lelaki memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis dari Kuala Lumpur dan maklumkan tujuan kehadiran mereka. Isteri saya buat satu permintaan, ‘tolong jangan gari suami saya dihadapan anak-anak,’ dan Ketua Inspektor yang mengetuai operasi bersetuju.

“Uncle nak bawak abah pergi meeting di KL,” kata beliau kepada anak-anak saya yang ketika itu berusia 11, 9, 6 dan 3 tahun. Apabila saya masuk ke dalam Pajero bercermin gelap, barulah digari. Saya perlu dibawa ke balai terdekat untuk laporan penahanan. Disebabkan mereka tidak arif jalan di Kelantan, saya bantu tunjukkan jalan.

Saya perlu dibawa kehadapan majistret di Kota Bharu sebelum dipindahkan ke KL, bermakna malam itu saya terpaksa bermalam di lokap di Kota Bharu. Masuk dalam lokap, barulah saya tersedar dari kekeliruan dan menyedari realiti yang saya depani. Sewaktu menukar pakaian, saya sempat buat panggilan telefon kepada sahabat terdekat memaklumkan lokasi saya.

Saya dimasukkan ke dalam sebuah lokap berisi 8 orang tahanan. Kesemuanya budak-budak muda kes curi dan dadah. Beberapa minit sebelum berbuka, saya dikejutkan dengan satu plastik besar bungkusan berisi nasi kerabu, ayam percik dan macam-macam juadah yang diseludup masuk oleh seorang tahanan. Saya di ajak ikut serta. Rezeki saya. Kalau tidak saya hanya berbuka dengan paprit belut.

Lebih kurang tiga jam (mungkin lebih) saya dimaklumkan bahawa saya tidak boleh ditahan di dalam lokap itu. Saya perlu dipindahkan. Saya dipindahkan ke dalam sebuah bilik dan dikunci bersendiri. Bilik itu gelap dan tercorot.

Apa yang saya hanya tahu selepas dibebaskan ialah keadaan di balai malam itu kecoh. Beberapa orang wakil rakyat dan sahabat-sahabat telah berkumpul untuk mendapat maklumat. Apa yang membuat suasana menjadi kecoh ialah bila Ketua Polis Kelantan menafikan saya ditahan di Kelantan. Mereka yang berkumpul mahu tahu dimana saya dibawa. Mereka mahu tahu saya ditahan atas kesalahan apa dan akta yang mana. Pihak polis tidak dapat memberi maklumat sehinggalah Timbalan IGP membuat kenyataan selepas solat terawih di Putrajaya.

Semalaman saya tidak tidur. Waktu saya diisi dengan berlegar-legar di sekeliling bilik yang agak luas itu sambil melayani nyamuk yang begitu banyak.

Tengahari esok, saya dibawa kehadapan majistret. Saya akan ditahan lagi satu hari. Petang itu saya dibawa ke Kuala Lumpur menaiki pajero.

Detektif Sabri memandu. Di hadapan bersamanya ialah Ketua Inspektor Azuan. Di belakang bersama saya ialah Detektif Mahathir. Kami berbuka puasa di sebuah perhentian rehat. Gari saya dibuka dan kami makan bersama. Perjalanan selepas berbuka meletihkan ketiga-tiga anggota itu. Saya masih ingat sempat saya memicit dan mengurut bahu dan belakang Sabri yang masih memandu.

Ketika di Lebuhraya Karak, saya dimaklumkan akan dibawa ke Bukit Aman dan ditahan disitu. Tetapi keluar arahan baru, supaya saya dibawa ke Penjara Pudu. Ini kerana ada beberapa pihak yang bersimpati dengan penahanan saya telah berkumpul di Bukit Aman.

Kami tiba di Penjara Pudu lebih kurang tengah malam. Ketika saya sedang menanggalkan pakaian seperti diarahkan, kami diberitahu bahawa saya tidak boleh ditahan di situ. Kami terpaksa berpindah ke Dang Wangi.

Akhirnya saya berjaya di ‘daftarkan’ di Dang Wangi. Apabila perintah reman dilanjutkan kemudiannya, saya terus bermalam di Dang Wangi. Bilik tempat saya ditahan sendirian sentiasa tidak dapat saya lupakan. Biliknya sempit. Amat gelap dengan lantai simen. Ada tandas terbuka. Tidak seperti ketika di Kelantan, di sini saya tidak dibenarkan berpakaian dan tidak boleh bawa kain sembahyang dan sejadah.

Tiap kali saya berada di dalam bilik itu, iaitu dari jam 6 petang hingga jam 10 pagi, saya akan mengadap ke arah dinding. Kerana dibelakang saya adalah tandas terbuka itu dipenuhi najis yang tersumbat. Di situlah tempat berbuka dan bersahur.

Waktu berbuka, saya diberi segenggam nasi yang dibungkus kulit pisang dan secebis telur dadar bersaiz lebar 2 cm dan panjang 4 cm, bayangkan! Serta sebungkus cecair yang pada mulanya saya ingat air teh, tetapi selepas berbuka baru saya sedar rupanya ia adalah kari cair.

Tiada air diberikan sewaktu berbuka puasa. Apabila tiba waktu bersahur, saya diberikan sekeping roti kering dan segelas air kosong. Tetapi, itu adalah hidangan yang paling segar dalam ingatan saya. Saya pernah hadiri jamuan buffet dan sebagainya dalam hayat ini, tetapi rezeki di Dang Wangi itu sebenarnya yang benar-benar membuat saya mesyukuri nikmat kehidupan yang diberi kepada saya.

Begitu juga dengan tempat penginapan. Saya pernah bermalam di hotel lima dan enam bintang tetapi tiada yang kekal segar dalam ingatan saya seperti bilik gelap kecil di Dang Wangi. Lebih dari itu, tiada ketenangan yang dapat menandingi ketenangan yang saya miliki di bilik gelap kecil itu.

Empat hari tiga malam di dalam tahanan pada Ramadan 2008 adalah anugerah yang tidak ternilai kepada saya. Ia mengajar saya ilmu yang tidak dapat saya miliki dari berapa gulung ijazah dan dari mana-mana gedung ilmu. Dan lebih dari itu, ia meletakkan saya pada kedudukan saya hari ini.

Nikmat itu berterusan walaupun selepas dibebaskan. Apabila pulang ke Kota Bharu, ada pihak bertanya jika saya berminat untuk bertanding dalam pilihan raya tetapi saya tolak mentah-mentah. Saya diajak berceramah di pentas politik, juga saya tidak berminat. Seringkali juga bila saya keluar makan bersama keluarga, ada sahaja orang asing, tak kira Cina atau India yang membayar bil kami.

Setiap tahun saya dan isteri akan anjurkan Ramadan Charity menerusi blog saya. Dan tiap-tiap tahun kami berjaya pungut dalam lingkungan RM15 ribu untuk diedarkan kepada orang-orang miskin. Tetapi, sebaik saya keluar dari tahanan, tabung Ramadan Charity tahun itu mencecah RM50 ribu.

Beberapa hari sebelum raya, saya sekali lagi ke Penambang untuk beli songket buat mertua di Johor. Saya disambut oleh tuan punya kedai dan anaknya dengan cerita bagaimana mereka solat hajat setiap malam minta saya tidak diapa-apakan setelah melihat dalam TV berita penahanan saya.

Setiap kali saya mengingati insiden yang menimpa saya pada empat hari dalam bulan Ramadan itu, saya amat bersyukur dan berterima kasih.

Ia adalah pengalaman yang cukup manis.

*Artikel ini ditulis oleh Dato’ Syed Azidi yang dipetik terus dari laman Facebooknya Syed Azidi.